Kecanggihan teknologi kini, bukan
sahaja memberi manfaat kepada manusia dalam memudahkan untuk mendapatkan
maklumat (teknologi informasi) tetapi turut dimanfaatkan sebagai medium
kesinambungan komunikasi terutama dalam hubungan jarak jauh (teknologi
komunikasi). Perkembangan dalam dunia teknologi komunikasi dan informasi inilah
yang membawa masyarakat ke dunia global secara langsung (exposure) dihubungkan
dengan media menjadikan masyarakat berganjak kepada satu fasa baharu iaitu
masyarakat informasi (information society). Oleh kerana itu,
sesebuah negara yang mengamalkan ‘dasar pintu tertutup’ di anggap sebagai
sebuah negara yang tidak maju atau negara yang tertinggal terkebelakang
kerana masyarakatnya tidak dapat mengikuti arus perkembangan dunia teknologi
sekaligus menjadi kekangan kepada masyarakat negara tersebut untuk mendapat
maklumat secara meluas sebagaimana yang dicapai oleh kelompok masyarakat
informasi dari negara-negara yang maju membangun.
Walaupun anjakan paradigma telah
berlaku dalam masyarakat dengan menjadikan mereka sebagai masyarakat
berinformasi secara globalisasi seiring dengan teknologi komunikasi, tetapi
disebalik kemajuan teknologi itu telah membentuk kelompok masyarakat sosial
kepada kelompok masyarakat bersifat individualistik. Apakah yang dimaksudkan
dengan masyarakat bersifat individualistik? Baiklah, saya bawa pembaca kepada
bayangan linkungan situasi yang sering berlaku di sekeliling kita.
Jika dilihat pada mata kasarnya,
masyarakat kini dipandang sebagai kelompok yang berpengetahuan kerana titik
kuasa capaian ilmu berada pada hujung jari mereka tetapi kuasa capaian tersebut
jugalah yang telah membina satu benteng diri mereka dengan orang sekeliling.
Jadi disini, apa yang ingin saya sampaikan, ianya bukanlah sesuatu yang
menghairankan jika kita melihat pada masa ini tidak kira dimana, masyarakat
lebih gemar duduk membisu dengan hanya memberi tumpuan utama pada gadjet
canggih yang dimiliki. Dengan adanya gadjet serba canggih tersebut, mereka
menganggap bahawa mereka sudah berada pada zon selesa dan sudah cukup bersosial
walhal, sosial itu sendiri memerlukan komunikasi secara langsung antara satu
sama lain. Dalam erti kata yang mudah, masyarakat sekarang lebih gemar
melakukan aktiviti secara perseorangan tanpa mahu terlibat dengan aktiviti
sosial secara berkumpulan. Walaupun, mereka berada di keramaian seperti pesta
atau berkumpul bagi tujuan mesyuarat, tumpuan utama mereka tetap pada gadjet di
tangan kerana ketandusan idea untuk berkomunikasi secara dua muka. Nah, itulah
dikatakan titik kuasa yang bukan hanya mampu mencapai kemahuan pencari
pengguna, tetapi berkuasa menarik pemikiran pengguna untuk hilang tumpuan pada
perkara lain!
Apabila individu lebih selesa dalam zon persendirian, ini secara
perlahan ataupun semula jadi (jika dipupuk sejak anak kecil oleh ibu bapa
dengan dunia teknologi sebegitu) seterusnya akan mengikis kemahiran
komunikasi-sosial individu berkenaan. Impak dari revolusinya teknologi
komunikasi ini seringkali mendatangkan satu permasalahan kecil kepada
permasalahan besar. Bagaimana ianya boleh berlaku? Secara jelasnya, kita boleh
melihat bagaimana golongan seawal usia kanak-kanak sudah dihidangkan dengan
gadjet canggih sebagai hadiah permainan mereka. Seterusnya, mereka dibiasakan
untuk meluangkan masa dengan gadjet tersebut bermula dengan salam perkenalan
dari dunia permainan video berterusan dengan penjelajahan dunia internet yang
membawa mereka kepada cara bersosial di laman media baru seperti facebook,
wechat, dan twitter contohnya. Kurangnya pergaulan mereka dengan orang
sekeliling telah membantutkan proses kemahiran komunikasi dan pergaulan mereka
natijahnya, mereka hanya mampu dilihat petah dan mesra atau bijak dilaman
sosial tetapi tidak pada personality sebenar diri mereka. Kekurangan inilah
yang akan membawa permasalahan besar kepada diri mereka terutama jika keadaan
mendesak mereka untuk beraih daripada zon selesa atau persendirian kepada
pergaulan secara meluas sama ada ketika melanjutkan pelajaran di university
mahupun ketika bekerja. Seterusnya, kekurangan ini juga akhirnya membawa kepada
kurangnya rasa yakin terhadap diri sendiri.