Khamis, 24 Mac 2016

Wartawan vs Media Baru

Kewartawanan merupakan suatu bidang yang dilihat dapat menjanjikan suatu cabaran yang besar terutama bagi pengamalnya. Kehadiran lebih banyak media baru yang semakin berkembang dan meningkat jumlahnya dari semasa ke semasa memperlihatkan betapa terancamnya bidang ini. Perkembangan dalam industri ini sedikit sebanyak telah mengubah pandangan dan persepsi masyarakat yang sesetengahnya memandang negatif peranan wartawan. Apabila diperhatikan, bidang kewartawanan ini bukan sekadar menyampaikan maklumat semata-mata malahan menjadi wadah ilmu dalam menggerakkan pemikiran dan tindakan komuniti masyarakat dalam memupuk kemajuan.

Media baru dan wartawan pada hari ini saling tidak bergantung antara satu sama lain. Hal ini demikian kerana masyarakat tidak lagi menjadikan wartawan sebagai orang tengah untuk menyampaikan maklumat kepada mereka. Ini menunjukkan bahawa perana media baru lebih penting berbanding wartawan. Sememangnya dunia kewartawanan sungguh mencabar akibat terlalu banyak kecanggihan teknologi baru seperti internet.
Media baru telah membina kedudukan yang sangat kuat dalam menyampaikan maklumat melalui media yang cepat dan mudah. Selain itu, lebih terbuka dan berkesan kerana lebih bebas berbanding media lama yang masih terkongkong.  Berita daripada kewartawan akhbar telah mengalami penurunan dari edaran naskah bercetak ekoran kewujudan media baru serta pembaca beralih arah kepada berita online. Aliran maklumat menerusi internet sudah semakin berkembang dan mengubah corak  aliran penghantaran dan pengaliran maklumat. Media baru memberi pengaruh yang sangat besar kepada masayarakat untuk mendapatkan maklumat dan isu-isu semasa yang berlaku. 

Justeru itu, gabungan kreativiti dan cetusan pelbagai idea yang baik dalam penulisan mampu membangkitkan emosi dan perasaan yang seterusnya memimpin pembaca untuk bertindak dalam agenda yang dibawanya. Lebih-lebih lagi di dunia serba moden dan canggih ini, wartawan dapat mengutarakan serta mengetengahkan idea mahupun pandangan melalui pelbagai saluran yang lebih dekat dengan audiens. Misalnya, rata-rata masyarakat hari ini lebih gemar mengakses internet untuk mendapatkan maklumat dan berita semasa disebabkan capaian yang lebih mudah, cepat dan berkesan. Ianya menjadi platform bagi wartawan hari ini merebut peluang dan menggunakan ruang yang ada dalam menyampaikan apa sahaja maklumat yang berpotensi mempengaruhi serta mengubah sikap pembaca