Jumaat, 1 April 2016

Teknologi dan Masa Hadapan





Sebuah kajian yang dijalankan pada tahun 2015 menunjukkan bahawa 56% remaja yang berumur 13-17  mempunyai kekerapan yang tinggi dalam melayari media sosial, hanya 6% daripada mereka yang jarang melayari media sosial. Melalui kajian tersebut, sudah terbukti bahawa golongan remaja mempunyai potensi untuk ketagih dengan teknologi terkini. Mereka berpotensi untuk menggunakan internet untuk pelbagai kegunaan sepanjang hari. Jika tidak diawasi oleh orang dewasa, maka anak-anak muda yang akan menjadi pewaris negara, akan lalai dengan arus moderniti dan mereka justeru akan mengabaikan tanggungjawab mereka kelak. 


[kredit]

Lee-Post (dalam Zaidatun & rakan-rakan, 2011), internet telah mengubah cara manusia berkomunikasi dan berinteraksi antara satu dengan yang lain. Kewujudan telefon pintar memeriahkan lagi penggunaan media baru, iaitu media sosial.
Menurut Alisyahbana (1980), manusia telah mengenal teknologi sejak jutaan tahun yang lalu. Hal ini disebabkan oleh dorongan hidup yang lebih aman, makmur dan sejahtera. Justeru, walaupun teknologi telah wujud lama dahulu, namun istilah ‘teknologi’ itu sendiri belum lagi digunakan. Istilah ‘teknologi’ berasal dari ‘techne’ atau cara, dan ‘logos’ yang bermaksud pengetahuan. Oleh yang demikian, dapat dirumuskan bahawa teknologi membawa maksud ‘pengetahuan tentang cara’. 

[kredit]

[kredit]

Kemajuan teknologi tidak dapat kita hindari, kerana seiring dengan perkembangan ilmu pengetahuan, perkembangan teknologi akan seiring. Pendek kata, ilmu pengetahuan dan teknologi tidak dapat dipisahkan. Ledakan teknologi yang merubah corak komunikasi dan kehidupan manusia secara keseluruhannya memberi kesan kepada cara penyampaian dan perkembangan sesuatu ilmu.




Namun demikian, sudah pasti, kemunculan teknologi baru akan memberi banyak kelebihan, dan sudah pasti, akan ada keburukannya. Jika dahulu, saiz dan bentuk telefon bimbit amat berbeza dengan reka bentuk yang ada di pasaran kini. Perbezaan tersebut juga memberi banyak perubahan kepada corak dan cara komunikasi terkini. Sebagai contoh, untuk mengetahui perkembangan terkini seseorang yang sedang berada jauh dengan keluarga, individu tersebut perlu mengisi ‘top-up’ untuk membolehkan mereka berbual dan bertanya khabar. Kini, dengan hanya klik satu butang di telefon pintar masing-masing, bukan sahaja pihak kedua dapat mendengar suara, malah boleh menghantar video dan gambar sekali gus.


‘So close, yet so far’. Pepatah ini amat sesuai digunakan untuk menggambarkan teknologi terkini dengan komunikasi manusia. Hal ini demikian, walaupun terasa seperti seseorang yang jauh itu dekat semasa menggunakan teknologi, namun pada aspek realitinya, mereka berada sangat jauh dari pandangan mata. Bukan itu sahaja, ‘online’ juga dapat mempengaruhi hubungan sosial seseorang. Kekerapan melayari internet yang tinggi mampu menjejaskan kemampuan seseorang dalan komunikasi secara bersemuka. 


Oleh yang demikian, kemajuan teknologi yang wujud dan sedang dalam inovasi dan penciptaan baru, haruslah disyukuri oleh umat manusia. Bukan itu sahaja, walaupun penggunaannya adalah untuk kemudahan dan kebaikan, namun harus diketahui bahawa terdapat salah guna dalam kalangan masyarakat apabila tidak timbul kesedaran dalam diri mereka. Paling penting, walaupun teknologi digunakan untuk mendekatkan diri dengan orang yang jauh, namun mereka yang berada di sekeliling kita tidak harus diabaikan, kerana mereka yang akan berada di sisi apabila kita memerlukan.

              
                                                                       


Rujukan
Alisyahbana, I. (1980). Teknologi dan Perkembangan. Jakarta: Yayasan Idayu.
Zaidatun Tasir, J. S. (2011). Penggunaan Alat Rangkaian Sosial di Kalangan Pelajar IPTS di Kota Kinabalu, Malaysia. Jurnal Teknologi Pendidikan Malaysia, Jilid 1, Nombor 1.